MUADZAM SHAH, 9 DISEMBER 2010 - Batalion Kesembilan RAMD Para telah melaksanakan Eksesais GEMPUR IX yang bermula daripada 8 hingga 11 November 2010 di Muadzam Shah, Pahang. Latihan yang berbentuk Peperangan Konvensional ini turut melibatkan unit-unit afilasi iaitu 1 RAD Para, Kompeni Bantuan Para, 361 RAD Para dan 10 SSD Para. Objektif utama latihan ini dilaksanakan adalah untuk menguji keupayaan kompeni tempur dan platun pakar serta unit afiliasi dalam melaksanakan Operasi Ofensif. Di samping itu, latihan ini turut menguji ketahanan mental, fizikal dan kerjasama serta memperkemaskan Knowledge, Skill dan Attitude (KSA) yang sering ditekankan pada sebilang masa oleh Pegawai Memerintah.
Pada peringkat permulaan, penyampaian perintah telah disampaikan oleh Mej Khairul Anwar bin Soib selaku Penolong Pegawai Memerintah kepada semua kumpulan perintah di kawasan kem pada 5 Nov 2010. Pada 7 Nov 2010, pasukan telah melaksanakan gerak mara dengan didahului oleh Kompeni A yang diketuai oleh Kapt Zabanoor bin Hashim dan diikuti oleh kompeni-kompeni lain. Sepanjang eksesais dijalankan, semua kompeni telah melaksanakan gerak mara sejauh 40 km dan membersihkan semua batas pertempuran bermula 7 hingga 9 Nov 2010. Pada 10 Nov 2010 jam lebih kurang jam 0900, kumpulan perintah batalion yang terdiri daripada semua Ketua Kompeni telah membuat tinjauan terhadap kawasan serangan di Objektif TIGER yang dipertahankan oleh satu kompeni musuh. Setelah selesai tinjauan, semua Ketua Kompeni menyampaikan perintah kepada kumpulan perintah masing-masing bagi melaksanakan serangan ke atas kedudukan musuh yang telah dikenal pasti. Pada 11 Nov 2010 jam lebih kurang 0530, lokasi Tempat Atur Bentuk Serangan telah diselamatkan oleh Kompeni C yang diketuai oleh Mej Shahrizal bin Chan Shah.
Pada 11 Nov 2010 jam lebih kurang 0630, suasana keheningan di Muadzam Shah, Pahang dipecahkan dengan dentuman bom simulasi yang menandakan permulaan serangan oleh Batalion Kesembilan RAMD Para. Serangan telah bermula pada jam 0700 dimana tiga kompeni telah diaturgerakkan untuk membuat serangan terhadap kedudukan musuh. Kesemua anggota telah memperlihatkan aksi yang agresif dan penuh bersemangat untuk menawan Objektif TIGER. Pada 11 Nov 2010 jam 0945, Objektif TIGER telah dapat ditawan secara totalnya setelah mendapat isyarat pengesahan daripada Pegawai Memerintah.
Di akhir eksesais, Lt Kol Abdul Karim bin Ahmad, Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan RAMD Para telah berkesempatan menyampaikan ucapan serta merumuskan pencapaian eksesais kepada semua anggota yang terlibat dengan eksesais. Beliau telah menyatakan bahawa beliau amat berpuashati dan amat bersyukur kerana eksesais berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan kemalangan jiwa. Walaubagaimanapun beliau menyeru kepada semua anggota agar terus memantapkan kemahiran dan memperkasakan pengetahuan di dalam Taktik, Teknik dan Prosedur (TTP) Peperangan Konvensional di masa hadapan, kerana sebagai unit elit 10 Briged Para, pasukan pada sebilang masa akan sentiasa diaturgerakkan untuk menghadapi ancaman terhadap negara dalam pasca peperangan moden. Beliau turut memperingatkan agar semua pegawai dan anggota sentiasa memelihara serta mengadaptasikan sepenuhnya wadah “Disiplin diutamakan, tugas serta peranan didahulukan, pengetahuan, kemahiran dan sikap dimantapkan” apabila pulang ke pasukan kelak. Pegawai Memerintah turut berkesempatan mengambil gambar beramai-ramai bersama-sama semua pegawai dan anggota di kawasan latihan.
Pegawai Memerintah sedang meneliti situasi semasa pelaksanaan eksesais.
Kenderaan terbaru VAMTAC milik Kompeni Bantuan Para turut diaturgerakkan sepanjang latihan dilaksanakan.
Anggota 9 RAMD Para melaksanakan gerak mara tidak kira masa dan cuaca.
Anggota 9 RAMD Para sedang mengambil kedudukan di kubu musuh yang telah ditawan semasa serangan akhir.
Kenangan...kepuasan jelas terpancar di wajah Pegawai Memerintah dan semua anggota 9 RAMD Para setelah tamat eksesais.
0 comments:
Post a Comment